Sabtu, 3 Februari 2018

Ucapan Wakil Pengerusi PKKPTB- Majlis Hari Mesra Jabatan Bersama PDRM dan KKAH

Terima Kasih kepada Pengacara Majlis.

Assalamualaikum wbt. Salam Muafakat Johor dan Salam 1 Malaysia.

Yang Berusaha Ketua Polis Balai Polis Ayer Hitam,
Sarjan Zakaria bin Ahmad ,Wakil Ketua Balai Polis Ayer Hitam.

Yang Dihormati Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 13 iaitu En Johar bin Suri.

Yang Dihormati En Ahmad Shariman bin Mohamad.  Penolong Pegawai Perubatan Kesihatan Klinik Kesihatan Ayer Hitam.

Yang Dihormati Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebajikan dan Keselamatan Penduduk Taman Bahagia Ayer Hitam.

Tuan-tuan / Puan-puan yang dirahmati Allah sekalian.

Bersyukur kita ke hadrat ilahi kerana dapat bersama-sama meluangkan masa berkumpul pada hari ini di dalam Program Hari Mesra Bersama Jabatan  bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Klinik Kesihatan Ayer Hitam dan di bawah anjuran bersama Persatuan Kebajikan dan Keselamatan Penduduk Taman Bahagia (PKKPTB) dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk JPP Zon 13.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Warga Taman Bahagia yang dirahmati Allah, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan penubuhan Persatuan Kebajikan dan Keselamatan Penduduk Taman Bahagia, Ayer Hitam PKKPTB yang berdaftar dengan ROS dengan no. pendaftaran PPM-004-01-26032017 pada  26hb Mac 2017.



Mengapa perlu berdaftar dengan ROS? Pertama, ia adalah tuntutan undang-undang di Negara ini. Dengan lain perkataan PKKPTB ini adalah sebuah persatuan yang sah di sisi undang-undang dan beroperasi selari dengan lunas undang-undang. Kedua, dengan berdaftarnya PKKPTB ini dengan ROS maka layaklah ia mendapatkan geran persatuan taman dari kerajaan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti persatuan ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Geran persatuan taman berjumlah RM10,000 kepada PKKPTB telahpun diluluskan dan majlis penyerahan mock-up cek telah dibuat pada Ahad, 16hb Julai 2017 di Dewan Kenangan, Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Baru. Ketiga, dengan berdaftar juga, PKKPTB boleh memohon kelulusan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, yang melayakkan pelepasan cukai kepada penderma-penderma yang menderma kepada PKKPTB.



Apakah tujuan penubuhan persatuan ini? KEBAJIKAN dan KESELAMATAN ahli-ahlinya, seperti mana nama yang diberikan kepada persatuan ini.  KEBAJIKAN; membantu warga taman yang tergolong dalam kategori asnaf, kenduri kendara, khairat kematian, urusan PBT/SWM, sukaneka warga taman, lawatan warga taman, latihan kepada warga taman dan banyak lagi.



KESELAMATAN: keselamatan harta benda dan warga taman, menangani jenayah seperti pecah rumah dan pengedaran dadah / penagihan dadah. Kebajikan dan keselamatan taman ini serta semua warganya adalah tanggungjawab kita bersama. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.


Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Objektif utama Program seperti ini diadakan ialah untuk memberitahu ,mempromosikan, menjemput dan mengajak semua penduduk taman Bahagia utuk menyertai persatuan ini. Seterusnya bilangan keahlian PKKPTB akan terus bertambah. Diharapkan juga program ini akan dapat menjalinkan hubungan di antara sesama warga Taman Bahagia dan hubungan baik penduduk taman bahagia bersama PDRM dan juga menjalin hubungan baik di antara warga Taman Bahagia dan KK Ayer Hitam. Program ini juga ada disediakan aktiviti Saringan Kesihatan secara percuma oleh Klinik Kesihatan Ayer Hitam. 

Tuan-tuan dan puan,

Di dalam program ini juga akan dilaksanakan Penyerahan Aduan Bertulis kepada MDYP melalui Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon 13 iaitu Kerosakan longkang di Taman Bahagia dan Permohonan Taman Permainan Kanak-Kanak. Seterusnya majlis Penyerahan alat-alat SRS oleh wakil PDRM kepada wakil penduduk Taman Bahagia dalam melaksanakan aktiviti keselamatan Taman Bahagia.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Sebelum saya mengakhiri ucapan , sekali lagi saya merakamkan ucapan terima kasih kepada wakil ketua balai polis Ayer Hitam Sarjan Zakaria bin Ahmad kerana sudi meluangkan masa untuk hadir.Terima kasih juga kepada En Johar bin Suri Pengerusi JPP Zon 13. Terima Kasih kepada En Ahmad Shariman bin Mohamad wakil dari Klinik Kesihatan Ayer Hitam.

Bagi pihak Persatuan Kebajikan dan Keselamatan Penduduk Taman Bahagia saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana sudi memberikan kerjasama sepanjang program ini berlangsung .Diharapkan program ini akan menjadi platform untuk membina kerjasama yang lebih erat di antara sesama penduduk taman dan kerjasama yang baik sesama PDRM, KKAH dan MDYP.



Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun;
 
Tinggi bukit gilang-gemilang,
Air laut tenang-tenangan,
Terima kasih kerana datang,
Budi tuan jadi kenangan

       
 Sekian, terima kasih





 


Tiada ulasan:

PROGRAM GERAK MESRA:GOTONG ROYONG TAMAN BAHAGIA

Bismillahhirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabbilalamin Wassolatuwasola mualaasyrafilmursalin waala alihi wasohbihi ajmain. Assalamualaiku...